13 December 2011

Sesuatu yang baik untuk difikirkan

Warna Sebenar Kita di Jalanraya

"Kenapa orang yang begitu baik tiba-tiba boleh menjadi ganas apabila memegang stereng kereta?" Tanya seorang ahli kariah masjid ketika kami sama-sama berehat selepas menunaikan solat Asar.

"Saya rasa bukan tiba-tiba sahaja mereka jadi ganas tetapi mereka memang ganas sebelum memegang stereng kereta lagi," jawab saya perlahan.

"Eh, kenapa awak kata begitu?"

"Jalan raya hanya menjadi sebab untuk mereka mengeluarkan warna mereka yang sebenar."

"Maksud awak 'true colour' mereka hanya keluar di jalan raya yakni ketika mereka memandu?"

"Ya. Sifat-sifat diri yang sebenar tidak terkeluar di tempat-tempat lain mungkin kerana segan, takut, malu dan sebagainya. Di pejabat, mungkin kerana ada bos atau ada orang lain yang disegani. Di rumah kerana ada isteri. Begitu juga di tempat-tempat lain, ramai yang perlu mengawal diri kerana ada kepentingan tertentu di hadapan orang tertentu."

"Maksud awak?"

"Di tempat-tempat itu mereka terpaksa memendam rasa marah, menahan rasa kecewa atau mengurung rasa dendam yang ada di dalam hati. "

"Rasa-rasa itulah yang kemudiannya mereka lepaskan apabila memandu di atas jalan raya?"

"Ya begitulah. Jalan raya menjadi tempat melepaskan segala rasa tidak puas hati dalam realiti kehidupan sehari-hari. Hakikatnya jalan raya telah menjadi tempat melampiaskan rasa marah, kecewa, dendam dan lain-lain sifat mazmumah."

"Orang lain yang mereka marah, orang lain yang jadi sasarannya. Begitu?"

"Begitulah. Awak tahu tiga penyebab utama kemalangan di negara kita?"

"Memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong secara salah!"

"Memandu laju menunjukkan kurang sabar atau mungkin kerana ego. Ingin menunjuk-nunjuk. Melanggar lampu isyarat tanda tidak menghormati peraturan dan orang lain. Begitu juga dengan memotong dengan cara dan di lorong yang salah. Tiga penyebab utama kemalangan hakikatnya berpunca daripada sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri pengguna jalan raya kita!"

"Tetapi ada juga orang yang baik terlibat dalam kemalangan, malah kemalangan maut," kilas teman saya perlahan.

"Itu sudah takdir. Kadang-kala, mereka hanya menjadi mangsa kesalahan orang lain. Mereka memandu dengan baik dan berhemah, tetapi apa boleh buat, orang lain yang melanggar mereka. Itu yang saya katakan takdir. Itu luar usaha dan ikhtiar kita. "

"Mengapa saya lihat orang agama pun memandu laju, cuai dan melanggar lampu isyarat?"

Saya terdiam. Ya, dalam pengalaman sendiri pun ramai juga saya lihat 'orang agama' yang memandu secara berbahaya dan mementingkan diri.

Melihat saya diam, teman saya menyambung, "Mengapa? Orang agama pun sarat sifat mazmumah? Mereka pun turut melepaskan rasa marah, ego dan kecewa di atas jalan raya?"

Perlahan saya mengangguk.

"Mengapa?" dia terus mengasak.

"Orang agama belum tentu beragama," jawab saya pendek.

"Pelik itu. Orang agama tetapi tidak beragama."

"Maksud saya, ada orang yang latar belakang pendidikannya, atau mungkin kerjayanya, atau mungkin juga gelarannya ustaz, tetapi sayang,mereka tidak mengamalkan ajaran agama sepenuhnya termasuk ketika memandu di atas jalan raya."

"Eh, takut ramai yang marah dan tersinggung dengan kata-kata awak itu nanti," katanya mengingatkan.

"Mengapa nak marah? Ini teguran yang benar buat kita semua. Ada orang agama tetapi tidak beragama sepertimana ramai orang yang ada akal tetapi tidak berakal."

"Maksud awak, orang agama yang tidak beragama sama seperti orang punya akal tetapi tidak berakal?"

Tanpa mengiakan atau menidakkan kata-katanya, saya menjelaskan: "Agama mengajar kita supaya mematuhi syariat dan berakhlak walau di mana sahaja. Bukan hanya di masjid, di pejabat atau di rumah, malah di atas jalan raya ketika memandu. Ibadah bukan sahaja solat, puasa, zakat tetapi memandu kenderaan juga boleh dikira ibadah sekiranya dibuat dengan niat yang ikhlas dan mematuhi prinsip-prinsip sunnah Rasulullah s.a.w."

"Memandu itu ibadah?"

"Ya. Bukankah Islam itu satu cara hidup. Ramai manusia zaman moden ini lebih banyak menghabiskan masa seharian mereka di dalam kereta berbanding tempat-tempat lain."

"Betul tu. Kekadang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya. Traffic jam sudah menjadi sebahagian cara hidup kita."

"Bayangkan jika berjam-jam itu tidak jadi ibadah, tentu rugi. Kita solat pun lebih kurang 7 – 10 minit sahaja."

"Jadi, kita beribadah bukan sahaja di masjid tetapi di jalan raya jugalah ya?"

Tidak perlu saya mengiakan, saya teruskan lagi.

"Ibadah yang baik ialah ibadah yang melimpah ruah manfaatnya kepada orang lain. Sekiranya pemanduan kita jadi ibadah, insya-Allah ia akan selamat dan menyelamatkan. Kita selamat dan pengguna jalan lain pun selamat."

Kali ini dia pula terdiam. Berfikir mungkin.

"Tetapi kalau tidak jadi ibadah, buruk padahnya. Bukan sahaja kita yang terima mudarat malah memudaratkan orang lain. "

"Apa hukumnya memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong secara salah?"

"Saya bukan ustaz, apatah lagi seorang ulama' tetapi jika tindakan itu memudaratkan diri sendiri dan orang lain tentulah dilarang atau diharamkan oleh Islam. Bukankah Islam itu agama yang selamat dan menyelamatkan?"

"Mengapa kemalangan boleh berlaku sedangkan sesetengah kita sudah melakukan pelbagai usaha?" Tanya beliau mengalih arah perbualan.

"Usaha apa yang awak maksudkan?"

"Macam kawan rapat saya minggu lalu. Dia terlibat dalam kemalangan. Agak parah juga. Setahu dan seingat saya, dia warak orangnya. Kalau hendak bermusafir mesti didahului solat sunat musafir, doa naik kenderaan dan pelbagai lagi bacaan ayat al-Quran."

"Itu aspek syariatullah. Tetapi cuba 'check' aspek sunnatullahnya," kata saya mengingatkan.

"Aspek syariatullah, sunnatullah? Apa itu?"

"Bacaan doa, solat musafir dan doa-doa yang lain itu aspek syariatullah. Manakala aspek sunnatullah pula adalah seperti memastikan keadaan brek kenderaan dalam keadaan baik, bunga tayar masih elok, cermin belakang dan sisi dalam kedudukan yang sesuai, memakai tali pinggang keledar dan enjin kereta dalam keadaan baik," jelas saya.

"Maksud awak kedua-dua itu hukum Allah juga?"

"Ya, syariatullah yang melibatkan hukum syariat yang lima; wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Manakala hukum sunnatullah pula melibatkan hukum sebab dan akibat yang telah Allah tetapkan untuk memastikan dunia ini dalam keadaan stabil dan baik."

"Saya masih tidak faham."

"Hukum sunnatullah itu seperti hukum graviti, hukum geseran dan lain-lain hukum yang kita belajar dalam ilmu sains dan matematik itu. Hukum ini tidak berubah dan bertukar ganti sifatnya. Ia tetap. Allah menetapkannya demi keselamatan dan kestabilan alam ini. Jika dilanggar buruk padahnya."

"Bagaimana semua itu terkait semasa kita memandu kenderaan?"

"Jika tayar botak, kenderaan mudah terbabas dan tergelincir. Ada hukum geseran di situ. Begitu juga apabila tali pinggang keledar tidak dipasang, momentum yang menghentak jisim kita ke hadapan akan lebih kuat jika kereta bergerak dengan halaju yang tinggi."

"Orang agama perlu dengar fakta ini," bisiknya perlahan.

"Mematuhi hukum syariatullah dan sunnatullah itulah bukti kita beragama semasa memandu di atas jalan raya. Tidak kiralah kita orang agama, atau tidak. Asalkan kita orang Islam, kita wajar mematuhi kedua-dua hukum Allah ini. "

"Jadi tidak cukup dengan mengamalkan doa naik kenderaan sahaja?"

"Ya, kalau hanya berdoa tetapi tidak menjaga aspek sunnatullah, itu termasuk dalam tawakal yang tidak berbekal. Tetapi kalau hanya menjaga aspek syariatullah, tetapi tidak berdoa dan meminta bantuan Allah, itu sombong. Seolah-olah kita bertawakal kepada diri bukan kepada Allah. "

"Jadi melanggar hukum sunnatullah juga merupakan satu kederhakaan kepada Allah, bukan hanya melanggar hukum syariatullah?"

"Ya. Itulah yang dikatakan, kita beragama di atas jalan raya. Barulah jalan raya kita tidak menjadi jalan mazmumah."


"Ya, orang Islam perlu menjalani kehidupan berdasarkan aqidah, syariah dan akhlak, setiap masa, setiap kita dan walau di mana-mana sahaja. Siapa kita di atas jalan raya, menunjukkan siapa kita di jalan hidup yang sebenarnya. Berhati-hati di jalan raya, ia boleh membawa kita ke syurga ataupun neraka!"

- Artikel iluvislam.com oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

27 November 2011

Jalan Raja Bot

Semalam seharian aku, Ibunda & adik-adik ke KL. Dengan misi memburu bekas kaca untuk tetamu VIP, kain untuk mak-mak sedara dan sepupu-sepapat aku.

Aku & Ibunda menyelusuri [pergh!] kedai-kedai barangan dapur di sekitar Jalan Raja Bot, Chow Kit. Kitorang ke sini atas naluri yang memfirasatkan [pergh! pergh!] barangan kaca di sini lebih murah dari tempat-tempat lain. Minggu lepas aku berkenan mangkuk aiskrim kaca kat The Store Plaza Alam Sentral, menepati bajet tapi stok tak cukup. Sedih. Ibunda cadangkan untuk cari je kat Chow Kit & ada satu blog B2B [maaf tak ingat yang mana] pernah compare harga barang doorgift kat Nilai dan Chow Kit yang mana di Chow Kit harganya lebih murah! OK tak semua lah kot. Tapi dalam kes aku ni, alhamdulillah tak sia-sia pemburuan di Chow Kit. Aku beli kat Perniagaan Majumas [sebenarnya aku tau nama pun dari resit, haha!]. FYI, di kebanyakan kedai di sini harga yang dilabelkan adalah harga letak je. Gunakan kebijaksanaan kamu untuk tawar-menawar pada harga yang kamu mahukan OK? :)

Ni dia..hasil buruan yang menepati bajet & ada stok :)


Kedai gas arwah atuk [yang telah pun dijual sejak 15+ tahun lalu] masih di situ, dengan nama yang sama! Bayangkan lah selama itu jugak aku tak pernah jejakkan kaki ke sini. Tak sangka betul, bangunan kedai pun masih seperti dulu. Deretan kedai yang bertentangan telah dibina deretan kedai yang lebih teratur dan cantik [dulu siap ada kedai tempah batu nisan & kedai capal, semalam aku tak perasan pulak]. Bau longkang pun masih ada. LOL!


Rupanya kedai Wakim tu sebelah je dengan kedai gas ni. Kat Wakim ni aku singgah nak tengok paper bag tapi takde yang sesuai pulak sebab paper bag aku haruslah mempunyai tapak yang kukuh gituuu. Ada yang bertapak tapi kecik pulak. Banyaknya songeh ko ni kan!

02 November 2011

Nilai Persahabatan

Pepatah Melayu sering menyebut: berkawan biar seribu. Maaf, aku tak pentingkan kuantiti.

Dalam usia ini, aku nyata sekali tak punya ramai sahabat. Yang dipercayai. Bersahabat dan hilang sahabat juga biasa bagi aku sejak zaman sekolah, zaman uni dan alam pekerjaan lagi. Hilang sahabat bukan kerana permusuhan tetapi kerana dah lost contact seperti pindah sekolah, berkahwin [kerana suaminya cemburukan aku, serius!], dapat kerja baru, ada nombor telefon tapi hilang pulak dan macam-macam lagi. Mereka semua adalah antara insan terbaik yang pernah hadir dalam hidup aku. Alhamdulillah.

Dua minggu lepas, sahabat yang sepatutnya menjadi pengapit aku telah memberitahu yang dia tak dapat hadir ke majlis aku. Katanya, cuti rehat tak cukup. Dan aku diminta untuk cari pengganti ASAP.

Aku faham dengan rutinnya yang perlu bekerja di hari minggu dan pada awal bulan yang sama, dia ke Bandung. Tapi atas logik apakah sampai satu hari pun tak dapat nak spare cuti untuk majlis aku? Apakah dia sedar atau tidak yang ini adalah majlis perkahwinan aku? Bukannya majlis jamuan hari raya/house warming/jamuan hari jadi. Cuba korang bayangkan betapa remuk perasaan aku?

Kepercayaan aku kepadanya sekali lagi runtuh apabila Allah telah gerakkan akal aku untuk masuk ke FB. Di sana aku melihat coretan dinding dia dan seorang lagi sahabat yang mengajaknya ke Bali. And surprise...! Dia boleh mengatakan yes, tapi selepas bulan Julai. Celaka apakah?

Aku boleh maafkan kau. Setelah apa yang terjadi, ternyata kau tidak worth untuk aku ambil peduli, fikirkan dan apalagi disayangi.

Sebagaimana pernah aku fikir yang - sahabat memang datang dan pergi.

01 November 2011

We are what we believe and value

Sabtu lepas yang sepatutnya hari lepak aku, menjadi paksa-rela berkursus motivasi. Sadis bukan? Haha. Tapi taklah se-sadis tahun lepas yang terpaksa berkursus di minggu kedua Aidilfitri >_<

Kursus tu cerita pasal Emotional Quotient [EQ] / kepintaran emosi oleh kaunselor Shamsul Bahrain Haron . Aku pernah dengar terma ni tapi tak pernah berkesempatan untuk mengkajinya.

OK. Aku perlu jot beberapa perkara dalam bentuk point supaya aku tak lupa, inshaallah [kerana menurut Encik Shamsul, untuk sesi seperti ini biasanya kita akan hanya ingat dalam tempoh 24 jam saja!].

1. Berbeza dengan intelligence quotient [IQ] yang mengukur keupayaan kognitif manusia, EQ sebaliknya adalah kepintaran manusia dalam menangani/mengurus emosi ke arah perkara yang memberi manfaat kepada dirinya, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun sejagat. Ini kefahaman aku, untuk lebih lanjut sila google :)

2. Ada satu bahagian dalam ceramah beliau yang membuatkan hati ini tersentuh. Beliau bercerita bagaimana cara-cara merotan pelajar. OK gini. Tangan yang merotan tak boleh diangkat sampai nampak ketiak, sebelum merotan beliau ucapkan sesuatu yang camni "saya rotan kamu sebab kamu dah buat salah, saya sayangkan kamu, jadi, dengan hukuman ini saya harap kamu jadi manusia yang lebih baik" dan piaappp! Terus beliau peluk pelajar sejurus merotan [yang ketika itu pelajar pasti akan menangis], pelajar diminta duduk & minum.

Point beliau = walau bagaimana marah sekalipun, marah lah dengan kasih sayang dan jangan sekali-kali marah dengan kebencian dan penghinaan.

3. Dunia kini bukan pada IQ semata. Dan EQ pula bukan lah perkara baru. Siapa tahu, mungkin ibubapa kita juga ber-EQ tinggi dengan membesarkan anak-anak yang berkelulusan universiti, berjawatan bagus dan berkhidmat kepada masyarakat?



4. Memang pernah terfikir yang kerja aku adalah sesuatu yang baik. Self motivation chewaahhh! Walaupun aku sedar ramai di luar sana memandang kerjaya ini takde class. Semasa sesi tu, Encik Shamsul berkata perkara yang sama! See, bermatlamat baik ke atas tugas dan amanah akan jadi sesuatu yang mendorong, inshaallah.

5. Hidup ini penuh dengan pilihan. Semua perkara yang terjadi adalah atas pilihan kita sendiri. Dan kita juga perlu lah belajar menghormati pilihan orang lain.

6. Hidup yang tiada dugaan ibarat manusia yang mati. Apa yang ada pada kita hari ini [baik atau buruk] semuanya dari Allah SWT. Maka janganlah kita terlalu menyesal jika diuji, sebaliknya kita redha dan move on.

7. Jangan takut perubahan dan keluar dari zon selesa. Siapa tahu, mungkin kita menjadi manusia yang lebih cemerlang?

8. Emosi marah biasanya datang dengan pantas dan tanpa dipinta. Untuk minit yang seterusnya [dalam keadaan marah itu], terpulang kepada kebijaksaan kamu untuk mengawalnya.

9. Jadi lah manusia yang empati, bukan simpati yakni memahami masalah/kesukaran orang lain dan berusaha membantu menyelesaikannya.

28 October 2011

Kembara Rohani: Haramain 2010

Tiada kata lain selain Alhamdulillah, syukur yang teramat kepadaNya. Di saat aku sibuk berangan nak tripping ke sana ke sini [bukan ke Tanah Haram], Allah Taala telah memberikan aku peluang dan kesempatan untuk menjadi tetamuNya. Allah Taala jugalah yang telah memberikan ilham dan rezeki kepada Ibu, yang mengajak lagi lapan orang ahli keluarga terdekat dan dua orang anak saudara aku yang masih kecil, Ziqry & Kaseh. Terima kasih Ibu! Aku doakan Ibu sentiasa diberkati Allah. Ameen.

Tiada lain pengharapan aku selain pengampunanNya & agar aku menjadi hambaNya yang lebih baik. Ameen.















Cuaca pada musim itu sangat panas, dalam 40+ degree kot. Yang ajaibnya, tak rasa panas pun bila sujud di lantai marmar kawasan Kaabah tu! Ya Allah...Tenang sungguh aku di sini. Alhamdulillah. Ada satu pagi, setelah selesai solat sunat tawaf, aku berteleku agak lama sambil menangis. Dan aku merasakan sebuah ultimate bliss. Ya Allah kerdilnya aku..

Aku suka kawasan basement Masjidil Haram, tenang dan tak ramai [tak tahu lah musim lain]. Teringin juga aku nak solat di bahagian roof tapi untuk lelaki saja.

Ibu pernah keciciran [bukan sesat] dari kakak-kakak dan abangnya semasa mengerjakan umrah. Menangis-nangis makcik & pakcik aku mengenangkan ibu yang entah ke mana. Mujurlah Ibu boleh balik sendiri, Alhamdulillah. Yang kelakarnya, Ibu cool je. Hahaha.

Makcik-makcik aku sentiasa bising kerana mereka agak sukar tolerate dengan perangai kasar wanita Arab yang suka langkah-langkah orang dalam saf. Kadang tu langkah kepala kita semasa sujud. Kalau korang ke sana, redha jelah dengan perangai mereka tu. Bak kata seorang ustaz dlm TV, kita semua datang dari latar budaya yang berbeza. Maka kita sepatutnya lapangkan hati dengan menerima perbezaan budaya itu.

Kesian Ziqry! :( Dia tersiram air panas semasa di Makkah. Salah aku & mamanya juga kerana cuai tak monitor dia. Memang tak nampak pun klinik berhampiran hotel, yang banyaknya farmasi je. Papa Zikry belikan krim untuk disapu pada lecur tu. Mahal. Adalah dalam RM50 kot.

Atas cadangan rakan pejabat, aku membeli susu coklat "Al-Mara'i" - pergh, yang ni memang terbaik OK! Rasanya macam..er..aiskrim coklat yang dicairkan? Susah nak terangkan, korang pergilah beli sendiri bila ke sana :) Yang aku pelik, jus-jus buah dari Arab Saudi elok je ada jual kat sini tapi susu ni?

Aku ditegur oleh cleaner Masjidil Haram kerana memegang cup air zam-zam dengan tangan kiri ketika minum. Kanan-kanan...sunnah!, katanya. Owh..malunya aku. Haha.

Beberapa hari sebelum berangkat ke Madinah, aku sentiasa teringin nak beli tasbih kristal warna pink untuk diri sendiri. Tanpa disangka, masa tawaf wida', seorang wanita Pakistan/India tiba-tiba sedekahkan aku seutas tasbih kayu. Subhanallah!

On the way ke Madinah, kami singgah di sebuah restoran untuk makan nasik mandy, lauk ayam & ikan goreng. Sedap gila OK! One thing kat sini kan, pack makanan mereka tak guna polisterin tau [apa barang, haha!] tapi aluminium pack tu.

Pengalaman aku ke Raudhah, salah satu tempat mustajab doa. Nak masuk sini ada slot tertentu untuk wanita dan kena ikut negara rupanya. Ada wanita Indo [sukarelawan kot] yang tolong coordinate. Memang memerlukan kesabaran yang tinggi nak masuk sini. Sampaikan aku terdengar seorang makcik ni mengeluh dan give-up. Coordinator tu bagus, selalu je motivate begini "Ibu-ibu sabar ya..pasti dapat ruangnya nanti". Alhamdulillah for us, patience is really the key!

Di Masjid Nabawi, aku tiba-tiba didatangi oleh seorang remaja wanita Pakistan/India. Dia minta bantuan aku membacakan "Durood Shareef" [yang mulanya aku tak tahu apa benda?], kemudian dia baca ayat-ayat selepas syahadah dalam tahiyat akhir, yang ada selawat kepada Rasulullah SAW & Nabi Ibrahim tu. OK, aku pun bacalah dengan perasaan yang keliru. Kemudian, dia mohon aku baca sepotong ayat [tak ingat yang mana] dari surah Ibrahim dan selepas tu, tiupkan pada sebiji tamar yang dia bawa. Lantas aku tanya untuk apakah? Dia katakan ini untuk sepupunya yang mahukan cahayamata. Wahh gitu!

Madinah bandarnya moden dari Makkah. Hotel-hotel pun sama je bentuknya. Makkah lebih old-school dan laid back. Di Masjid Nabawi, jemaah wanita perlu diperiksa sebelum dibenarkan masuk dan kamera langsung diharamkan. Masjidil Haram lebih terbuka.

Peniaga Madinah agak biadap daripada peniaga Makkah. Jika kita minta diskaun, dikatanya kita bakhil! Ada yang seorang tu tak suka kami minta kurang, terus disuruhnya pergi cari kedai lain! Erk?!

P/S: Durood Shareef tu selawat :)

25 October 2011

Banyak sungguh benda aku nak update! OK bismillahirrahmanirrahim...

1. Masih guna E63 yang pandai on off dengan sendirinya [haha!]

2. Seminggu lebih menderita sakit kepala. Kata doktor, cluster headache yang normal bagi wanita. Gegendang telinga pulak ada darah sikit. Tapi tak bahaya, katanya.

3. Terus aku ke Pusat Rawatan Tradisional As-Syifaa untuk sesi urut satu badan. Setelah 2 tahun kot [erk?!]. Pergh, nasib baik tak sakit sangat macam yang aku pernah urut dengan makcik Seksyen 18 tu. Alhamdulillah lega kepala aku.

4. Pengembaraan paling bermakna dalam hidup aku iaitu ke Haramain, menunaikan fardhu umrah bersama keluarga pada 2010. Ada entri nanti, inshaAllah.

5. Jale-Jale The Series: Phuket 2009 & Pulau Tioman 2010. Matilah hutang entri! Hee.

6. Kali terakhir aku jalan-jalan adalah ke Bukit Tinggi, Pahang. Maaf tiada gambar menarik. Itupun setelah dipujuk Ibu untuk join Family Day jabatannya. Hasilnya, bonet kereta aku dihentam oleh resident resort tu >_<

7. Adik yang ketiga telah selamat bergelar suami. No, aku tak pakai bulu mata palsu. Bahahaha!

8. Kolestrol 5.94 [tidakkkk!] dan perlu kurangkan 26kg T_T

9. Lagi 3 bulan, 4 minggu & 2 hari aku akan menjadi halal kepada tunang a.k.a comot kesayangan aku. Doakan keberkatan Allah kepada kami, ya!

17 October 2011

Semak-samun.

Bukan takat bersawang dah ni.


OK. Kerja-kerja menebas bermula sekarang!